Pemakaian anak tudung pelbagai warna serta cara ikatan kreatif sesuai digayakan untuk ke pejabat, kolej atau majlis rasmi.

SELENDANG kini menjadi pilihan remaja disebabkan sifatnya yang lembut, mudah dibentuk serta mempunyai kepelbagaian corak dan warna.
Selain itu, penggunaan anak tudung pelbagai warna menjadikan cara ikatan selendang semakin menarik.
Walaupun ada beranggapan wanita berwajah bulat tidak sesuai mengenakan selendang, pandangan ini tidak benar. Ini kerana sesiapa juga sama ada berwajah bulat atau bujur nampak cantik apabila selendang dililit di kepala.
Bagi menjadikan wajah yang bulat tampil bujur anda boleh memakai anak tudung, kemudian jarakkan sedikit selendang pada bahagian hadapan sebelum melilitnya.
Selendang boleh dipakai bersama pakaian polos atau bercorak. Sama ada gaya kasual atau rasmi. Lebih penting ikatan selendang tidak menjurus kepada satu gaya saja, ia boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti.
Malah, pemilihan dua atau lebih anak tudung berbeza warna semakin mendapat perhatian dan menjadi ikutan.
Menurut pemilik butik dalam talian, radiusite.blogspot.com, A´tikah Ash´ari, sejak memperkenalkan penjualan selendang menerusi dalam talian, ramai wanita memilihnya sebagai gaya harian sama ada ke pejabat, kolej atau majlis rasmi.
"Saya menerima banyak maklum balas pengguna yang dulunya tidak berani berselendang kerana bimbang berbeza penampilan, tetapi selepas mencuba, mereka memberitahu semakin meminati gaya ini dan mula membelinya mengikut warna pakaian," katanya.
Tambahnya, harga selendang juga murah bagi kain sutera viscose yang sesuai dipakai bersama anak tudung Syria. Ada juga kain jenis mortada dan georgette yang lebih kasar dan mudah dipakai.
Selendang kain Syria berharga antara RM15 sehingga RM30. Menariknya selendang kain Syria tidak perlu digosok, namun perlu dijaga ketika mencuci kerana kainnya lembut dan sensitif.
Di Timur Tengah, gaya berselendang menjadi perkara biasa bagi wanita di sana. Malah, selendang dipakai bersama pakaian harian seperti jubah dengan pelbagai gaya.
Bagi wanita yang baru mengenali selendang dan ingin mencuba beberapa gaya ikatan, A´tikah menunjukkan langkah demi langkah gaya ikatan selendang yang boleh diikuti.
Langkah demi langkah ikatan selendang:
1. LETAK...letak selendang di kepala, sebelah panjang dan pin di bawah dagu. Anda boleh pilih sama ada menutupi seluruh anak tudung atau tinggalkan sedikit pada bahagian hadapan.
2. LILIT...ambil hujung selendang panjang kemudian lilit di kepala (bahagian tengah).
3. KEMAS...sematkan pin pada bahagian hujung selendang (pada bahu) kemudian kemaskan.
4. MENAWAN...inilah hasilnya
No comments:
Post a Comment